FOLLOWER

15 Mei 2009

Berbakti Kepada Dua Ibubapa

TAZKIRAH PAGI JUMAAT, KELUARAN 11 / 15 Mei 09
PUSAT PEMIKIRAN DAN KEFAHAMAN ISLAM (CITU), UiTM PERAK

Berbakti Kepada Dua Ibubapa

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Abu Hurairah r.a meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. bersabda, bermaksud : ”Kotor hidung seseorang dengan berlumuran tanah (maksudnya menjadi hina), kemudian menjadi hina pula, dan kemudian menjadi hina pula (hina di atas kehinaan) bagi seseorang yang sempat menemui seorang daripada kedua ibubapanya atau kedua-duanya ketika mereka sudah tua dan ia tidak dapat berbuat bakti kepada mereka yang akan melayakkannya menjadi penghuni syurga”.

(Hadis Riwayat Muslim)

Keterangan:
Berbakti kepada kedua ibubapa adalah merupakan perkara yang sangat dituntut oleh Islam. Allah S.W.T. Meletakkan kedudukan ibubapa di tempat kedua setelah beribadat kepadaNya seperti firman Allah S.W.T. :
Maksudnya: Dan Allah telah memberikan keputusan supaya kamu jangan menyembah kecuali hanya kepadaNya dan hendaklah kamu bebuat bakti kepada dua ibubapa.
(Surah al-Isra’ : 23)

Kedua ibubapa telah banyak bersusah payah dalam memelihara anak-anaknya. Pelbagai bentuk kesusahan dan penderitaan yang tidak dapat digambarkan dan terpaksa dilalui sepanjang proses tersebut. Pengorbanan demi pengorbanan telah dicurahkan kepada anak sehinggalah mereka membesar dengan sempurna serta menikmati kehidupan ini dengan baik. Sewajarnyalah mereka tidak melupakan bakti yang telah dicurahkan oleh ibubapa mereka. Sudah sampai masa dan ketikanya pula anak meluangkan sedikit masa untuk berbuat bakti kepada ibubapa dalam berbagai bentuk dan situasi.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
”Berbuat baiklah terhadap ibubapa kamu, pasti anak kamu akan berbuat baik terhadap kamu”.
(Hadis riwayat Hakim dan Tabrani).

Anak yang soleh sentiasa berbakti terhadap ibubapanya ketika masih hidup dan selalu berdoa untuk kesejahteraan mereka dunia dan akhirat. Ibubapa adalah anak kunci syurga, maka hendaklah kita jaga (awasi) anak kunci itu dan jangan sampai kita sia-siakan.

Apa yang menyedihkan kita, masih ada manusia yang tidak tahu menilai pengorbanan yang dilakukan oleh ibubapa. Penderhakaan dilakukan secara nyata dan jelas tanpa mengambil kira sedikit pun pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibubapa mereka.

Beberapa bentuk penderhakaan yang dilakukan oleh anak kepada ibubapa mereka, antaranya ialah:
1. Tidak mentaati perintah dan tidak menunaikan tanggungjawab sebagai seorang anak.
2. Mementingkan diri sendiri dan keluarga daripada mengambil tahu kehidupan ibubapa lebih-lebih lagi ketika mereka memerlukan bantuan daripada anak.
3. Kasar ketika berinteraksi dengan ibubapa dan sering mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati dan perasaan mereka.
4. Sampai hati menyalahkan ibubapa di atas masalah yang mereka hadapi.
5. Berasa hina dengan kemiskinan ibubapa setelah memperoleh kemewahan hidup.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud :

Dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata, seorang lelaki bertanya : Wahai Rasulullah, siapakah orang yang lebih berhak mendapat kebaktian dan kasih sayangku?. Baginda menjawab : Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi, kemudian siapa?. Baginda menjawab : Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi, kemudian siapa?. Baginda menjawab: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi, kemudian siapa?. Baginda menjawab : Bapamu.

Dalam riwayat lain, dari Abu Hurairah r.a., beliau berkata bahawa seorang lelaki bertanya : Wahai Rasulullah, siapakah orang yang lebih berhak mendapat kebaktian dan kasih sayangku?. Nabi s.a.w. menjawab: Ibumu, lalu ibumu, lalu ibumu kemudian bapamu, kemudian yang lebih dekat dan seterusnya.
(Hadis riwayat Muslim)

Marilah kita semua bertekad dan berazam untuk meneruskan kebaktian kita kepada kedua ibubapa kita. Bagi mereka yang telah ketiadaan ibubapa, maka kebaktian disalurkan melalui doa, sedekah, melunaskan segala hutang piutang mereka dengan sesama manusia dan menjalin hubungan dengan mereka yang disukai oleh ibubapa semasa mereka hidup dahulu.. Bagi mereka yang ibubapa masih hidup, teruskan kebaktian ini dan pertingkatkan amalan tersebut sehinggalah ke akhir hayat mereka. Namun begitu pada masa yang sama sebarang bentuk penderhakaan terhadap mereka hendaklah dihindari kerana ia merupakan dosa besar selepas dosa syirik.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud :
Daripada Abi Asid al-Sa’adi bahawasanya seorang lelaki berkata; ”Wahai Rasulullah, apakah ada lagi daripada sesuatu kebajikan yang perlu aku lakukan kepada ibubapaku selepas matinya?”. Sabda Nabi s.a.w. bermaksud : Ya, benar!!, berdoalah ke atas keduanya dan beristighfarlah untuk keduanya, laksanakanlah janji keduanya, hubungkanlah silaturrahmi dengan orang yang pernah dihubungi oleh keduanya serta hormatilah teman-teman keduanya”.
(Hadis riwayat Abu Daud)

Wallahu a’lam.

Disediakan oleh : Abd. Nasir Hj. Musa
Diedit oleh : Ustazah Mazlah Yaacob, Ustazah Kalsom Awang

Terima kasih tidak terhingga kepada Ust. Abd. Nasir di atas kebenaran mengeluarkan tazkirah ini untuk bacaan dan dihayati.

Jazakumullah Hukhairan Kathira. Wassalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...