FOLLOWER

19 Jun 2009

Jangan leka







Firman Allah S.W.T. bermaksud :“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi Neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tetapi tidak diperguna untuk memahami ( ayat-ayat Allah), dan mereka mempunyai mata, tetapi tidak diperguna untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak diperguna untuk mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu sebagai binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai”.

Kelalaian menjadikan seseorang itu hilang sifat-sifat keinsanannya. Hati yang tidak disinari nur Ilahi menjadikan dirinya mendambakan diri kepada sesuatu yang membawa kehancuran. Lantaran itu mata dan telinga diperalatkan serta jasmani diperkudakan untuk mencapai kepuasan. Lalai mempunyai pengertian yang luas dan setiap insan tidak terkecuali dari sifat ini. Antara jenis-jenis kelalaian manusia ialah:
* Lalai terhadap perkara yang membahayakan dan mendatangkan murka Allah S.W.T.
* Lalai terhadap amalan yang boleh menyelamatkan diri dari azab Allah S.W.T.
* Lalai terhadap modal utama yang diberikan Allah S.W.T. iaitu masa, waktu, umur.
* Lalai terhadap tujuan utama manusia dihidupkan.
* Lalai terhadap tugas islah, dakwah dan tarbiah kepada diri, keluarga serta masyarakat.
Sifat lalai ini melanda setiap peringkat manusia samada ia seorang yang berilmu, seorang abid (beribadat), seorang dermawan, seorang yang kurang ilmu, seorang miskin dan sebagainya. Contohnya, surah al-Ma’un ayat:4 mengandungi ancaman Allah S.W.T. terhadap seseorang yang mendirikan solat tetapi lalai dalam solatnya. Seorang hartawan yang bakhil atau dermawan yang riak adalah termasuk dalam kategori orang yang laiai, begitu juga dengan seorang yang kurang ilmu tetapi tidak berusaha mencari ilmu.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
“Bermacam fitnah datang ke hati bagaikan tikar dianyam selembar demi selembar. Setiap kali hati menerimanya, maka tertitiklah padanya titik-titik hitam dan setiap kali hati menolaknya akan tertitik padanya titik putih sehingga akhirnya hati dikategorikan kepada dua jenis iaitu satu berwarna putih seperti batu karang yang licin. Hati jenis ini tidak akan terpengaruh oleh fitnah selama langit dan bumi masih ada. Manakala satu lagi berwarna hitam pekat bagaikan cangkir hitam yang terbalik. Hati jenis ini tidak mahu menerima kebaikan dan tidak mahu menolak kemungkaran. Hati jenis ini tidak mahu menerima kecuali apa yang diinginkan hawa nafsunya”.
(Hadis riwayat Muslim dan Ahmad)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...