FOLLOWER

21 Mei 2010

Soal Kerja atau Soal Hati? Teguhkan iman

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat seluruh muslimin dan muslimat.  Semoga di hari yang penuh keberkatan ini kita berupaya perolehi seribu rahmat dari Ilahi.


Soal Kerja atau Soal Hati?

Setiap kerja yang dipohon sudah tentu menjadi idaman hati atau paling kurang kerana kita mempunyai kelayakan untuk kerja itu... mungkin juga ada kerja yang terpaksa dipohon kerana tiada pilihan lain. Namun setiap kerja yang ditawar dan kita terima harusnya menjadi satu titik tolak kepada satu kehidupan atau suasana baru yang harus kita terima dengan seadanya dan berusaha untuk melaksanakan yang terbaik.

Bergelar staf baru di sesuatu organisasi, sememangnya kita diperhatikan. Dari segi apa?... Kebiasaannya selain dari aspek kebolehan, kecekapan dan kualiti kerja yang sentiasa dipantau oleh bos atau staf yang senior anda juga mungkin diperhatikan oleh lelaki bujang hatta suami orang juga.

Sebagai seorang muslimah, anda harus sentiasa ingat kepada batas-batas agama dalam apa jua perkara yang anda lakukan seperti tatacara berpakaian dan penampilan diri. Sebagai staf baru, soal hati seharusnya ditolak ke tepi sebaliknya berikan tumpuan dan fokus kepada soal kerja dan tanggungjawab bagi memahirkan diri dalam tugas yang telah diterima.

Apa yang penting berikan masa untuk memahami bidang kerja dan menyesuaikan diri dengan suasana kerja yang baru. Harus bijak menilai mana yang positif dan negatif. Seorang muslimah sewajibnya memelihara peribadi bagi mengelakkan sebarang fitnah yang boleh membawa kerosakan.

Perkara utama yang harus diberi perhatian pada bila-bila masa adalah:

1. Meningkatkan keyakinan diri. Tidak bermakna hingga menimbulkan riak dan bangga dengan kebolehan diri sebaliknya bersyukur di atas bakat dan akal yang telah Allah kurniakan. Dalam masa yang sama harus juga ada rasa rendah diri dan bersederhanalah dalam setiap perlakuan.

2. Penjenamaan diri. Menjaga penampilan dan imej diri disamping mempunyai nilai peribadi yang unggul seperti rajin, amanah, jujur, bertanggungjawab, bekerjasama dan berdisiplin. Selain dari itu dengan adanya prinsip diri yang jelas akan menjelaskan lagi jati diri seorang Muslimah yang sejati.

3. Menjana semangat diri. Niat utama melangkahkan kaki ke tempat kerja adalah untuk mendapatkan rezeki yang halal dan kerana Allah. Dari sini akan menimbulkan keikhlasan untuk bekerja disamping meneguhkan minat dan mengelak daripada merungut terhadap kerja yang diamanahkan.

4. Meminta bantuan. Sebagai staf baru sudah tentu tidak banyak yang kita ketahui tentang sesuatu perkara. Adalah tidak menjadi kesalahan kalau bertanya kepada staf yang lebih senior asalkan tatasusila sebagai muslimah tetap terpelihara. Dalam masa yang sama elakkan diri dari menjadi bahan fitnah terutama apabila berurusan dengan staf lelaki.

5. Prestasi kerja. Adalah tidak mustahil prestasi kerja akan merosot apabila soal hati mula diberi perhatian dan melupakan niat asal semasa memperolehi kerja. Kawal perasaan kerana tidak mustahil ada ketika hal-hal peribadi akan bercampur dengan urusan kerja, seperti melayan panggilan telefon, sms atau keluar makan.

6. Perkembangan kerjaya. Semasa melangkah kaki ke dunia pekerjaan, sudah pasti setiap dari kita mempunyai perancangan tersendiri untuk memajukan diri dalam kerjaya. Apabila soal hati dan perasaan dicampur adukkan, tidak mustahil akan timbul rasa cemburu dikalangan staf yang lain. Secara tidak langsung akan menjejaskan tumpuan dalam pekerjaan dan akan menyekat peluang untuk meningkatkan diri dalam kerjaya.

Walau apapun situasi yang timbul, sebagai muslimah yang sejati janganlah mudah terpengaruh dengan hasutan duniawi yang akan menjerumuskan diri ke lembah yang hina. Sebaliknya sentiasalah berwaspada dan mohonlah bantuan dari Allah apabila menghadapi kesukaran dalam membuat pilihan.

Sumber: Hari Pertama – Fokus kerja berbanding soal hati; Majalah Nur, Mei 2010.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Catatan:  sebagai motivasi dan ingatan buat diri yang sering alpa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...