FOLLOWER

12 Ogos 2011

Hidayah dan Keberkatan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,


HIDAYAH DAN KEBERKATAN
Mutakhir ini kita pernah melihat dan mendengar di media masa kisah lembu dan kambing peliharaan yang diperdengarkan dengan ayat-ayat suci al-Quran. Setiap pagi dan petang kaset al-Quran akan diperdengarkan ke seluruh kandang atau ladang untuk tujuan santapan rohani....
 Kita percaya bahawa yang tersirat di hati ialah agar “segala usahanya diberkati”. Lalu dengan jihad yang dilakukan itu penternak dengan bangganya mengatakan “Inilah lembu dan kambing yang berkat, yang sentiasa disuntik dengan kemukjizatan ayat-ayat suci al-Quran..”. Jelas, mereka amat berbangga memilih elemen kesucian melalui surah-surah al-Quran dan tidak pula memilih irama dangdut atau rock.
 Walaupun idea pilihan mereka kelihatan keagamaan namun harus diingat bahawa tujuan al-Quran diturunkan sebenarnya telah dinyatakan Allah dengan jelas :

                  Sesungguhnya al-Quran itu adalah untuk memberikan hidayah (petunjuk) kepada (jalan) yang lebih lurus.
                                                                                                         Surah al-Isra’ 17 : 9
Perkataan “aqwam” adalah merujuk kepada jalan yang lebih benar dan lebih adil. Maksudnya al-Quran itu adalah untuk manusia yang ada akal dan minda yang berfikir, manusia yang mengerti tentang tugas mengurus bumi dan tidak merosakkannya, manusia yang mempunyai hati dan motivasi atau manusia yang mampu berusaha mencari yang terbaik untuknya.
Al-Quran bukan diturunkan untuk lembu, kambing atau binatang ternak yang tidak tahu untuk berfikir dan mengerti. Di dalam Kitab Tafsir al-Maraghi menyatakan bahawa “hidayah” yang dipinta oleh manusia ketika menunaikan ibadah solat merujuk kepada empat perkara iaitu hidayah Agama, hidayah akal, hidayah pancaindera dan hidayah ilham. Justeru al-Quran diperlukan untuk mendapatkan semua hidayah tersebut.
Manakala hidayah yang diberikan kepada haiwan pula ialah hidayah pancaindera dan hidayah ilham sahaja yang diperolehi secara automatik. Dengan dua hidayah inilah semua haiwan melangsungkan kehidupannya secara stereotaip. Hidayah ilham akan menunjuk ajar setiap haiwan untuk mengenal erti kehidupan walaupun tanpa ibu atau bapa di sisi. Justeru haiwan tidak perlukan manusia untuk menunjuk ajar kelangsungan hidupnya jauh sekali untuk memerlukan al-Quran. Hujah ini juga secara jelas telah menolak pandangan Darwin berkaitan teori evolusi kerana manusia yang berevolusi daripada beruk tetap tidak mampu untuk ditunjuk ajar apa tah lagi untuk mendapat empat hidayah yang dinyatakan di atas.
Justeru, usaha memperdengarkan al-Quran itu bukanlah untuk santapan rohani atau untuk mengislamkan lembu dan kambing kerana lembu dan kambing tidak ditaklifkan (dibebankan) dengan kewajipan tersebut. Lembu, kambing dan segala apa yang ada di langit dan juga yang ada di bumi (kecuali manusia, jin, syaitan, iblis yang kufur kepada Allah) semuanya sentiasa bertasbih dan tiada apa-apa dosa kepada Allah (rujuk surah al-Hadid ayat 1).
Usaha memperdengarkan al-Quran itu kemungkinan untuk mencari nilai keberkatan pada rezeki mereka. Cuma isunya kenapa dibacakan kepada lembu dan kambing? Kenapa tidak kepada hati kita sendiri yang memang kita diperintah untuknya? Oleh itu marilah kita sama-sama membaca al-Quran sambil cuba memahaminnya di bulan Ramadan yang mulia ini, kita bacakan kepada hati kita dan kepada kehidupan kita seluruhnya. Moga beroleh keberkatan, rahmat dan pengampunan Allah SWT.

Wallahu a’lam
Disediakan oleh :  Hj Supani Hj Husain
Diedit oleh : Abd. Nasir Musa
~~~~~~~~~~

Pengalaman bersama majalah Solusi

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,


Hari ini dah masuk hari kedua belas Ramadhan 1432 bersamaan juga 12 Ogos 2011.  Agak serius sikit rasa dan perasaan ini apabila menulis tajuk di atas, tidak tahu nak pilih tajuk dan tidak tahu juga bagaimana tajuk ini dapat memberi impak kepada rakan-rakan muslimah di luar sana.  Kerana tajuknya agak biasa-biasa, sedangkan sekarang zaman yang tajuknya mesti luar biasa barulah mendapat sambutan dan minat orang hendak membaca. 

Tajuk ini dan cerita seterusnya ada kaitannya dengan apa yang aye baca dalam majalah Solusi, Isu no. 34 Edisi Khas Ramadhan dan Syawal.  Sudah lama dan sejak awal bulan lagi telah menerima (membeli sebenarnya) majalah ini dari Pn. Che Pauziah Md. Lazim, Kaunselor Kanan di UiTM (Perak).  Sungguh aye terharu dan senang hati kerana mudah mendapatkan majalah ini dengan beliau kerana setiap keluaran pasti akan sampai ke muka pintu pejabat di Unit Luar Kampus dan InsyaAllah tanpa terlepas edisi berikutnya walaupun edisi yang lepas-lepas memang dah terlepas.  Masih terngiang-ngiang di telinga ini kata-kata Pn. Che Pauziah "Baca! Jangan tak baca". Aye hanya mampu tersengih, kerana isu yang lepas belum habis baca lagi.  Mana tidaknya dah sampai Isu yang baru, Isu lama tak habis baca.  Tidakkah nanti Isu itu akan bertambah "banyak" untuk dihadhamkan?

Justeru itulah, pagi tadi selesai bersahur sementara menantikan masuk waktu Subuh, dicapai majalah Solusi Isu 34 yang terletak di atas meja kopi (coffee table), dibelek-belek majalah ini.  Hm! mengeluh sendirian "Tak habis lagi membacanya".  Semalam dan hari-hari yang lepas sekadar belek-belek tengok gambar dan baca tajuk dan begitulah selalunya sambil mencari kalau-kalau ada isu yang menarik perhatian untuk dibaca.  Pelikkan?  Mungkin itu juga yang dihadapi oleh Muslimah di luar sana, atau hanya aye seorang yang begitu.  Terasa rendah diri sungguh.

Mohon izinkan aye senaraikan di sini isi kandungan Majalah Solusi Isu 34 Edisi Khas Ramadhan dan Syawal.  Antaranya:
  1. Tafsir:  Memerhati Ciptaan, Mencintai Pencipta
  2. Hadis:  Hebatnya Kurma
  3. Fitrah:  Puasa Penyegar Huungan Suami dan Isteri
  4. Isu:  Agar Ramadhan Berbuah Takwa
  5. Isu:  Andanya Ini Ramadhan Terakhir
  6. Jalan Keluar:  KPI Puasa Ditentukan Allah
  7. Cerna Minda:  Puasa, Al-Quran dan Takwa
  8. Hai Anak:  Besarkan Ramadhan Melalui Sahur
  9. Ulfah:  Mukmin Pada Pagi Raya
  10. Mahmudah:  Makin Akrab Dengan Al-Quran
Itulah sebahagian daripada pengisian dalam Majalah Solusi.  Walaupun pada awalnya apa yang ingin diperkatakan dalam catatan ini adalah berlainan.  Lalu diubah kepada pengenalan kepada Majalah Solusi.

Isu sebenar yang amat menarik perhatian aye adalah dari segmen Respon:  Gelang Tangan Emas vs Doktor Muslimah.  Akan aye kongsikan pengalaman berkaitan isu itu dalam catatan akan datang.

Sehingga itu, Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak.  Semoga puasa kita diterima Allah.

Sekian






*.*
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...