FOLLOWER

30 Ogos 2012

Minggu ke-30 dan kisah MGTT

As salam,


 
Sekarang dah masuk minggu ke-30 usia kandungan dan kenapa pula gambar di atas tidak sama dengan gambaran kedudukan janin di dalam perut @yangbaik seperti yang diceritakan doktor.  Betullah, jangan keliru sebab tidak semua bayi mempunyai perkembangan yang sama.
 
Ini adalah cerita semalam tetapi dicatatkan pada hari ini kerana baru mendapat peluang untuk bercerita di sini.  Seperti lazimnya walaupun mungkin secara kebetulan urusan di klinik kerajaan sering memakan masa yang lama dan agak panjang.  Sebagai salah seorang kakitangan awam memang rasa tidak sesuai nak bercerita di sini kerana ia seolah-olah membuka pekung di dada.  Tetapi seperti semua sedia maklum, memang urusannya lambat dan memakan masa yang panjang. 
 
Sesuatu perlu di lakukan untuk memudahkan proses dan mungkin beberapa prosedur perlu dikaji semula.  Antaranya penyediaan ruang yang selesa dan kakitangan yang mencukupi untuk menguruskan MGTT. 
 
@yangbaik secara peribadi simpati dengan seorang sahabat yang kebetulan mengambil darah kali pertama pada sebelum puasa dahulu, beliau merupakan orang yang pertama mengikuti proses berkenaan tetapi atas sebab yang kurang jelas maka proses yang pertama itu terbatal lalu terpaksa diulang semula untuk kali ini.  Sedangkan @yangbaik menjalani prosedur kedua manakala beliau terpaksa mengulang semula prosedur yang pertama.  Bayangkan betapa ruginya masa yang diambil untuk menjalani prosedur pertama dahulu.  Buang masa, tenaga dan darah juga.  Pembaziran!
 
Cerita panjang lebar memang menyakitkan tetapi itulah hakikat yang terpaksa diharungi.  Semoga prosedur berkaitan MGTT dapat diinovasikan semula bagi memudahkan urusan semua pihak.  Kerana ibu-ibu yang hamil ini bukan sahaja terdiri dari suri rumah tetapi juga ibu-ibu yang berkerja.  Bayangkan bila keluar ke klinik asalnya dari dua jam jadi 4 hingga 5 jam.  Masa kerja terpaksa dikorbankan.  Tidak mengapalah bila dapat bos yang memahami tetapi akan menjadi lebih sukar walaupun bos memahami tetapi terpaksa meninggalkan kerja untuk menunggu dan akhirnya terpaksa cuti.
 
Walau apapun mereka terutama petugas di Klinik Kesihatan itu telah melakukan yang terbaik hingga terpaksa menggadaikan masa rehat demi tugas.
 
Selamat bertugas.
 
'suka duka pentas dunia'
 
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...